Mateo Kovacic percaya kemenangan 1-0 Chelsea ke atas Leeds United semalam membuktikan bahawa mereka mampu memberi cabaran demi lencana di dada.
The Blues menamatkan badi enam kekalahan berturut-turut dengan membenam lawan yang turut bergelut itu bagi mengurangkan tekanan ke atas pengurus, Graham Potter.
Chelsea mengharungi musim yang sukar biarpun berbelanja besar dalam jendela perpindahan, namun tetap gagal memperagakan persembahan jitu di atas padang, secara tidak langsung meningkatkan keresahan penyokong.
Begitupun, selepas gol pertama Wesley Fofana dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, Kovacic melahirkan rasa terima kasihnya atas sokongan yang ditawarkan peminat kepada pemain.
“Saya berasakan penyokong memberi sorakan kepada kami sepanjang perlawanan,” kata pemain tengah itu di laman sesawang rasmi Chelsea.
“[Ia] bukan mudah, kerana kami berada dalam detik yang buruk.
“Tempat ke-10 tidak bagus buat Chelsea.
“Ia adalah suasana yang hebat dan kami menunjukkan kepada peminat bahawa kami mampu berjuang untuk lencana ini dan kami menghadiahkan mereka tiga mata.”
Source: stadiumastro.com