Graham Potter percaya minggu cemerlang yang dilalui Chelsea telah menunjukkan perkembangan pasukan itu selepas mereka menewaskan Leicester City 3-1 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) lewat malam tadi.
Menjelang kejayaan menewaskan Leeds United hujung minggu lalu, Chelsea hanya meraih dua kemenangan daripada 12 perlawanan.
Bagaimanapun, kejayaan itu kemudian disusuli dengan kemenangan 2-0 ke atas Borussia Dortmund untuk mereka menempah tempat ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) sebelum melengkapkan tujuh hari penuh cemerlang itu dengan kemenangan terbaru di Stadium King Power.
Ben Chilwell, Kai Havertz dan Mateo Kovacic, kesemuanya menemui sasaran buat The Blues manakala Enzo Fernandez dan Mykhailo Mudryk turut mempamerkan aksi terbaik mereka bersama beberapa pemain baru Chelsea yang didatangkan pada Januari lalu — menunjukkan mereka kini sudah mula menyesuaikan diri sebagai satu pasukan.
Chelsea masih kekal ketinggalan 11 mata di belakang pasukan di tangga keempat, Tottenham, dan sedang merebut tempat untuk melayakkan diri ke kejohanan peringkat Eropah musim depan.
Potter, bagaimanapun, amat gembira dengan kemenangan ketiga berturut-turut itu.
Dia berkata kepada Sky Sports: “Ia minggu yang amat positif buat kami, tiga kemenangan ke atas Leeds, Dortmund dan hari ini, ia menunjukkan betapa pesatnya pasukan kami membangun.
“Ia perlawanan yang sukar seperti yang dijangka tetapi pada akhirnya, saya fikir kami layak untuk menang.
“Tiga kemenangan dalam tempoh seminggu di tahap seperti ini amat menggembirakan.
“Kini, kami perlu meneruskannya dengan satu lagi kemenangan minggu depan dan kemudian akan ada waktu rehat antarabangsa.
“Kami akan cuba mendapatkan tiga mata ketika menentang Everton pula,” katanya.
Source: stadiumastro.com