PEMAIN Chelsea gembira selepas mara ke suku akhir Liga Juara-Jaura. FOTO EPA
London: Chelsea membuktikan mereka masih boleh mencapai sesuatu musim ini dengan menumpaskan Borussia Dortmund 2-0 di Stamford Bridge untuk mara ke Liga Juara-Juara dengan kelebihan agregat 2-1.
Raheem Sterling dan Kai Havertz, yang mengambil dua kali sepakan penalti, menyumbang jaringan buat The Blues untuk mengurangkan tekanan kepada pengurus, Graham Potter.
Tugas pengendali dari England itu goyah selepas gagal memberikan sebarang pulangan hasil suntikan dana lebih £500 juta (RM2.6 bilion) dalam satu musim untuk mendapatkan pemain baharu.
Chelsea hanya menang tiga daripada 16 perlawanan sebelum ini untuk menghuni tangga ke-10 Liga Perdana Inggeris (EPL) dan tersingkir awal dalam dua saingan piala domestik.
Bagaimanapun, beberapa bintang mahal mereka muncul tepat pada masanya untuk kekal dalam usaha memburu Piala Eropah ketiga.
“Terdapat perasaan yang hebat di dalam bilik persalinan. Kami telah melalui tempoh yang sukar dan pertandingan ini amat bermakna buat kami,” kata Potter.
“Wujud perasaan yang hebat di dalam bilik persalinan. Kami melalui tempoh yang sukar dan pertandingan ini amat bermakna buat kami,” kata Potter.
“Kami mahu terus mara dan dapat berada pada kedudukan lapan terakhir, sebelum bersedia untuk beberapa minggu yang akan datang.”
Dortmund hadir di England dengan rekod 10 kemenangan berturut-turut dalam semua kejohanan.
Bagaimanapun, pasukan pelawat hampir tidak memberikan sebarang ancaman serangan pada babak pertama kecuali sepakan percuma Marco Reus diselamatkan dengan cemerlang Kepa Arrizabalaga.
“Kita perlu mengakui, sepanjang dua perlawanan, Chelsea layak untuk ke pusingan seterusnya,” kata bos Dortmund, Edin Terzic.
Source: hmetro.com.my