Juergen Klopp (kiri) dan Zinedine Zidane. – Foto AFP
LONDON: Prestasi Liverpool semakin buruk dengan pengendalinya Juergen Klopp kini seolah-olah bingung dan tidak tahu lagi bagaimana untuk memulihkan pasukannya yang terkulai di tangga ke-10 Liga Perdana Inggeris (EPL).
Kekalahan 3-0 di tangan Wolverhampton kelmarin juga dilihat bagaikan ‘peringatan terakhir’ buat pengurus berusia 55 tahun dari Jerman itu kerana jika beliau berada di kelab lain, beliau mungkin sudah duduk dalam penerbangan pulang ke tanah airnya selepas dipecat.
Liverpool menjadi mangsa permainan kemas Wolves di Molineux apabila dikuasai di segenap penjuru padang dengan harapan mereka untuk bersaing dalam Liga Juara-Juara musim depan kelihatan seperti satu angan-angan yang tidak mampu menjadi kenyataan kali ini.
Tidak hairan Klopp, yang meninggalkan bilik sidang akhbar di Molineux apabila enggan melayan soalan wartawan selepas perlawanan itu, sekali lagi menjadi tumpuan terutama mengenai masa depannya di Anfield.
Beberapa akhbar Britain kembali mempersoalkan masa depannya dan mendedahkan calon yang boleh menggantikannya bagi menyelamatkan The Reds, naib juara EPL musim lalu di belakang Manchester City, daripada musim yang hambar dan memalukan.
Memang benar Klopp berhak mendapat pujian hasil kerja keras dilakukannya di Liverpool dengan tujuh kejuaraan utama sejak memegang tampuk pengurusan di Anfield pada 2015 termasuk trofi Liga Juara-Juara 2019 dan EPL pada 2020.
Beliau antara pengurus terbaik dalam sejarah kelab itu malah tidak keterlaluan jika dikatakan antara yang terbaik di dunia selepas turut berjaya melakar banyak kejayaan membanggakan bersama kelab Jerman, Borussia Dortmund.
Namun ketika Klopp kelihatan buntu dengan apa yang berlaku dalam kalangan anak buahnya, pengulas mula memperkatakan mengenai Mauricio Pochettino dan Thomas Tuchel, yang tampil berpotensi untuk menggantikannya. Kedua-duanya bertaraf penganggur ketika ini selepas meninggalkan Paris Saint-Germain dan Chelsea tahun lalu.
Luis Enrique seorang lagi calon dengan bekas pemain Sepanyol itu sebelum ini memenangi hampir semua kejuaraan di Barcelona dan dalam pada masa sama, pasukannya memperagakan permainan bola sepak yang memukau.
Akhir sekali, Zinedine Zidane mungkin boleh berada dalam senarai teratas selepas kejayaannya mengemudi Real Madrid menjuarai Liga Juara-Juara tiga kali berturut-turut antara tahun 2014 dan 2016.
Zidane pernah dikaitkan dengan Liverpool beberapa kali sebelum ini tetapi pemilik kelab Fenway Sports Group (FSG) tetap menaruh harapan terhadap Klopp yang masih mempunyai baki kontrak di Anfield hingga musim panas 2026.
Akhbar Britain juga menyatakan beberapa alasan kenapa Klopp patut kekal di Anfield.
Pertamanya, FSG mahu menjual kelab itu dalam masa terdekat dan ada kemungkinan pemilik baharu mempunyai lebih banyak dana untuk dibelanjakan berbanding era FSG sekali gus membolehkan Klopp membeli beberapa pemain terbaik bagi mengukuhkan skuadnya.
Keduanya, walaupun beberapa pengurus ternama boleh diambil menggantikannya, adakah mereka jelas lebih bagus daripada Klopp?
Rekodnya di kelab itu perlu dipertimbangkan juga. Liverpool sudah menang hampir setiap kejuaraan utama di bawah kendaliannya termasuk trofi EPL yang amat mereka idam-idamkan pada 2020.
Source: bharian.com.my